Wednesday, August 25, 2010

Doa untuk bukan Muslim


Saya rasa amat wajar untuk saya mengulas sendiri tentang isu doa untuk bukan muslim yang 'dikecohkan' sekarang. Ini memandangkan ada media telah memainkan perbezaan antara pendapat saya dan yang dihormati Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak mengenai isu ini. Tujuan tulisan ini agar salah faham dapat dielakkan.

Apabila seorang tokoh Umno yang agak veteran menghubungi saya dan menyatakan beliau tidak puas hati (ayat asalnya "malu") dengan fatwa Tuan Mufti Perak yang mengharamkan doa kesejahteraan untuk bukan Muslim, saya jawab, saya tidak pasti sebab saya sendiri belum membaca fatwa tersebut.

SMS beliau kepada saya: "Apakah saudara bersetuju dengan Mufti Perak bahawa hukumnya haram kita mendoakan kesejahteraan bukan Islam. Salahkah saya mendoakan kesejahteraan mak mertua saya yang bukan Islam? Atau mendoakan penyokong saya yang bukan Islam?"

Setelah mendapat SMS itu saya cuba mencari kenyataan Tuan Mufti dalam media, saya dapati demikian yang dilaporkan oleh beberapa media.

Sebagai husn al-zan (sangka baik) saya anggap mungkin laporan media kurang kemas, atau ada maksud di sebalik pandangan hukum yang dikeluarkan oleh Tan Sri Harussani Zakaria itu. Ungkapan yang digunakan bahawa Islam mengharamkan doa kesejahteraan kepada orang bukan Islam itu mungkin mempunyai maksud lain, di luar apa yang saya faham.

Perkataan "sejahtera" itu mungkin ada maksud tersendiri yang beliau ertikan. Cumanya, saya ingin mengulas kenyataan itu dari beberapa sudut. Pandangan saya dalam isu ini seperti berikut:

Setiap orang yang mempunyai pengetahuan agama hendaklah sentiasa adil dengan pandangannya. Tidak boleh berpihak untuk kepentingan pembangkang ataupun kerajaan. Saya tujukan nasihat ini kepada mereka yang daif seperti saya ini agar berusaha mendisiplinkan diri dalam pandangan ilmu.


Harussani bukan lemah seperti saya

Adapun Tan Sri Harussani, Mufti Perak sudah pasti seorang yang teguh - bukan lemah seperti saya - dan saya doakan agar keteguhan itu menjadi contoh insan yang berdisiplin dalam ilmu.

Pandangan agama yang membabitkan hal bukan Muslim di negara kita khususnya, dan dunia moden amnya, jika salah ditangani boleh memberikan kesan negatif kepada kefahaman masyarakat mengenai Islam.

Kita memberitahu dunia "Islam adalah agama yang rahmat". Pasti mereka akan ragu jika kita mengeluarkan pandangan sebaliknya. Di kala dunia menuduh Islam pengganas, tiada nilai toleransi dan seumpamanya, pandangan-pandangan golongan agamawan janganlah membantu menyuburkan tuduhan palsu itu.

Di Malaysia, secara praktiknya, ramai yang terbiasa memberi ucapan, terutama di media-media kerajaan, "assalamualaikum dan salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam".

Walaupun Nabi SAW - seperti riwayat al-Bukhari - dalam praktik baginda, jika ada bukan Muslim bersama dengan Muslim, baginda hanya mengucapkan "assalamualaikum" sahaja. Perkataan "assalamualaikum" itu memang bermaksud "kesejahteraan ke atas kamu".

Namun, diulangi oleh amalan media kerajaan dan majlis-majlis kerajaan dengan ungkapan "salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam". Tidakkah "salam sejahtera kepada bukan beragama Islam" itu satu doa untuk mereka?

Mengapa tidak difatwakan ia haram selama ini? Demikian salam ciptaan baru "Salam 1Malaysia" juga bermaksud kesejahteraan untuk semua termasuk bukan Muslim. Mengapa tidak diharamkan? Saya sekali lagi berpesan kepada diri saya sendiri yang amat daif ini: Janganlah bersifat terpilih dalam berfatwa.

Nabi jampi orang gila bukan Muslim

Para ulama berbeza pendapat tentang hukum mendoakan rahmat dan keampunan kepada bukan Muslim yang masih hidup. Mereka sepakat melarang doa tersebut kepada yang sudah mati dan menolak Islam secara jelas.

Kesepakatan itu disebabkan ia disebut dalam al-Quran dalam Surah al-Taubah ayat 113. Adapun mendoakan untuk mendapat hidayah, adalah ijmak (sepakat tanpa kecuali) para ulama membolehkannya, bahkan menggalakkan.

Kata Abdullah bin Mas'ud: "Aku seakan masih melihat Rasulullah SAW menceritakan tentang seorang dalam kalangan nabi AS yang kaumnya memukulnya sehingga berdarah, sedangkan dia hanya menyapu darah di mukanya dan berdoa: "Ya Allah! Ampunkanlah kaumku kerana mereka itu tidak tahu". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan berdoa agar Allah memaafkan atau jangan menurunkan bala kepada golongan kafir yang jahil adalah harus. Dalam ertikata lain diberi peluang untuk mereka. Ini sebenarnya, mendoakan agar mereka selamat dari bala yang Allah bakal turunkan.

Dalam hadis yang sahih riwayat al-Nasai dan Abu Daud, sahabah Nabi SAW pernah menjampi untuk seorang gila yang bukan Muslim dengan Surah al-Fatihah sehingga sembuh. Ketua kabilah lelaki itu memberikan kepada sahabah berkenaan 100 ekor kambing.

Nabi SAW bersabda kepada sahabat tersebut: "Makanlah, selama ini orang memakan dari jampi yang batil, engkau memakan dari jampi yang sebenar".

Jampi adalah sebahagian dari doa kepada Allah. Hadis ini menunjukkan boleh mendoakan kesembuhan dan kesihatan kepada bukan Muslim.

Bagi saya, doa kebaikan untuk bukan Muslim seperti agar memerintah dengan adil atau mendapat kesejahteraan kesihatan, keamanan, harta dan seumpamanya adalah dibolehkan. Dada Islam amat luas dalam hal ini. Syaratnya, doa kesejahteraan itu bukan untuk orang bukan Muslim yang bermusuh dengan Islam.

Permainan politik

Firman Allah, maksudnya: "Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim". (Surah al-Mumtahanah ayat 7-8).

Adapun berdoa agar diberikan kekuatan atau kekuasaan kepada mereka yang zalim adalah haram. Samada yang didoakan itu Muslim atau bukan Muslim.

Firman Allah: "Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang melakukan kezaliman nanti api neraka akan menyentuh kamu, sedangkan kamu tidak ada sebarang penolong pun selain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan" (Surah Hud: 113).

Namun, saya akui bahawa permainan politik boleh berlaku dalam semua aliran kepartian. Doakan mungkin digunakan dengan tujuan baik, juga mungkin tujuan kempen politik.

Sebab itu 'Ali bin Abi Talib pernah menyebut kepada golongan Khawarij yang menggunakan slogan agama: "Perkataan yang benar, tetapi bertujuan batil" (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah).

Saya tidak pasti doa dalam kes di Pulau Pinang tersebut dalam kategori mana.

Pun begitu, golongan agama tidak boleh membuat fatwa untuk keredaan sesuatu pihak semata-mata. Hukum yang bersifat merentasi masa dan tempat seperti kenyataan mengharamkan doa untuk kesejahteraan orang bukan Muslim secara mutlak akan dipakai selamanya jika rakyat menerima sedemikian rupa tanpa penelitian atau perincian.

Cina rajin dan kaya

Dalam sebuah negara yang berbilang agama, adakah kesejahteraan dan keamanan akan tercapai jika salah satu masyarakatnya porak peranda? Jika masyarakat bukan Islam hidup dalam keadaan tidak aman dan bergolak sesama mereka, apakah negara akan aman?

Jika seorang pemimpin Muslim dibolehkan berusaha secara pentadbiran memulihkan keamanan dalam komuniti bukan muslim, apakah munasabah Islam mengharamkan pemimpin tersebut berdoa agar Allah memulihkan keamanan dan kesejahteraan di kalangan mereka?

Tambahan lain, perlu kita di Malaysia mendoakan agar bukan Muslim menerima Islam ini. Orang Cina khususnya, mereka rajin dan kaya. Jika mereka menerima Islam, agama ini menjadi teguh.

Jika Nabi SAW pernah berdoa: "Ya Allah! Engkau kuatkan Islam dengan salah seorang dari dua lelaki yang Engkau lebih sayang; Abu Jahl atau 'Umar bin Al-Khattab". (Riwayat al-Tarmizi dan al-Hakim, dinilai sahih oleh al-Zahabi).

Alangkah perlunya kita juga berdoa agar tokoh-tokoh yang hebat di negara ini menerima Islam.

Inilah pandangan ringkas saya. Saya percaya Tan Sri Harussani Zakaria mempunyai tafsiran atau andaiannya yang tersendiri. Apapun, kita harapkan andaian dan tafsiran itu sentiasa memberikan nilai yang positif untuk Islam dan bebas dari belenggu kepentingan mana-mana pihak. Ini adalah pandangan saya.

Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Ogos 24, 10
3:50pm

Tuesday, August 24, 2010

"Hang percaya Harussani?"


Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria memang terkenal dengan isu-isu kontroversi. Malangnya ada isu-isu yang dibawanya itu tidak lebih daripada "serkap jarang". Saya tidaklah sampai menuduh beliau sebagai pembawa berita palsu atau yang belum disahkan kerana ia tentulah tidak baik kepada imejnya sebagai seorang ulama terkemuka. Cuma banyak pihak terkilan dengan sikapnya, yang kadang-kadang dilihat boleh (atau bersedia) diperalat oleh golongan berkepentingan.

Memang ulama tidak wajar mengasingkan diri daripada politik, malah wajar mengungguli politik Islam, tetapi pendekatan Harussani begitu canggung sekali.


Peringatannya dalam isu murtad cukup bermanfaat sehingga masyarakat dan kerajaan tersentak; sayang sekali, ada ketika, fakta yang dibawanya tidak berjejak dan ini boleh mengundang kontroversi yang berbahaya.

KUTIP FAKTA SALAH

Saya pernah menemuramahnya semasa saya mengetuai akhbar Siasah hampir lima tahun lalu. Terasa selesa berdepan dengannya. Bagus penjelasannya, tetapi saya perlu berhati-hati dalam editing, bimbang bukan sahaja beliau terlepas cakap tetapi mengutip fakta yang susah hendak disahkan.

Harussani semasa hangat isu perpaduan PAS-Umno menegaskan: "Saya mufti, takkan saya berbohong."

Bagaimanapun pendedahannya bahawa ada pemimpin Umno dan PAS berjumpa dengannya berbincang dan meminta pandangan beliau berhubung dengan cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti itu disanggah keras pemimpin tertinggi PAS. Diakui wujud pertemuan seorang Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengannya, tetapi ia sama sekali tiada kena mengena dengan isu kontroversi itu.

Saya sendiri, yang menghormatinya atas kelantangan dan sikap terus-terangnya, tidak sanggup menuduh beliau berdusta. Tetapi apabila saya membaca "pendedahannya", seperti dilaporkan Utusan Malaysia (ya, akhbar mana lagi), bahawa sudah ada "perlembagaan baru" yang didakwanya disediakan parti politik tertentu, saya sekadar menggelengkan kepala.

Menurut beliau, "perlembagaan baru" itu menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin Perlembagaan sekarang. (Maka berpestalah Utusan Malaysia kerana ia bertepatan dengan momokan akhbar berkenaan tentang ketuanan Melayu yang makin terpinggir selepas pilihan raya umum 2008, yang jelas sasarannya mahu ditujukan kepada Pakatan Rakyat).

Saya tersenyum apabila membaca laporan seterusnya ucapan Harussani dalam Wacana Perpaduan Ummah Dalam Kesedaran Penghakisan Hak Orang Melayu, di Ipoh itu: "Kebetulan saya ada memberi satu ceramah di Alor Setar. Ada seseorang datang dan memberikan saya tiga buah buku perlembagaan yang dikehendaki pihak tertentu."

Saya menelefon seorang kawan minta pandangannya tentang kenyataan Harussani itu. Jawabnya, "hang percaya Harussani?" Saya terdiam. "Dia suka dengar cerita orang dan mudah percaya, kemudiannya menjadi bahan utama dalam ceramahnya pula," tambah kawan saya itu lagi.

Tiba-tiba saya menjadi kasihan kepada Mufti Perak ini. Sudah banyak kali beliau menyampaikan kepada umum khabar sensasi yang diterimanya, yang saya pasti belum sempat disahkan kebenarannya.

JANGAN NAIF

Siapalah saya untuk menasihatinya agar menyelidiki dengan mendalam berita yang didengarnya sebelum menyebarkan kepada umum. Maaf kalau saya memperingatkan beliau agar jangan naif sangat dengan percaturan politik.

Apabila ditanya siapa dan parti politik mana yang terlibat dalam mewujudkan perlembagaan baru itu, seperti dilaporkan berita muka depan Utusan Malaysia, 17 Ogos lalu, Harussani enggan mendedahkan kerana "kesannya terlalu besar sehingga boleh mencetuskan peperangan besar di negara ini".

Maka semakin tersenyum simpullah saya seorang diri pagi Selasa itu. Saya pasti, seperti juga dalam dakwaannya bahawa ada pemimpin tertinggi PAS berjumpa dengannya mengenai rundingan Umno-PAS, Harussani tidak akan menjelaskan siapa dalang perlembagaan baru itu.

II.

Ramadan kini hampir melepasi fasa 10 hari pertama. Ya, sungguh cepat masa berlalu. Semoga sepuluh malam dan siang hari berpuasa itu dimanfaatkan setulusnya bagi mendekatkan diri dengan Allah SWT, seterusnya meningkatkan darjat takwa kita. Keampunan-Nya amat didambakan, dan doa dipanjatkan agar taubat diterima dan kita terselamat daripada seksaan api neraka.

Ramadan juga dikenali sebagai bulan al-Quran. Maksud al-Baqarah, ayat 185: "Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan permulaan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda antara yang hak dan yang batil ...". Beruntunglah mereka yang dapat mendakap erat kalam Allah itu, membacanya dengan penuh keinsafan, serta menggali hikmah di dalamnya.

DAMPINGILAH AL-QURAN SEERATNYA

Nabi s.a.w. bersabda, yang bermaksud: "Bacalah al-Quran! Sesungguhnya al-Quran pada hari Akhirat nanti akan datang mebawa syafaat kepada orang-orang yang membacanya."

Membaca satu huruf sahaja dari al-Quran sudah dijanjikan Allah dengan satu pahala dan ia digandakan lagi kepada sepuluh pahala. Rasulullah s.a.w menerangkan bukanlah "Alif Lam Mim" itu dikira satu huruf, bahkan "Alif" satu huruf, "Lam" satu huruf dan "Mim" satu huruf.

Dr 'Aid Abdullah Al-Qarni dalam bukunya, "Hikmah Berpuasa di bulan Ramadan" menjelaskan: "Di awal Ramadan, Nabi mempersiapkan dirinya untuk hidup bersama al-Quran, mengurangi segala aktiviti dan kesibukan selain al-Quran, agar dapat mengkaji, membaca dan menjadikannya sebahagian dari kehidupan. Al-Quran merupakan mukjizat terbesar ... ketika setiap mukjizat sirna bersama kematian nabi yang membawanya, mukjizat al-Quran terus hidup sampai hari Kiamat."

Selain berazam khatam al-Quran sepanjang Ramadan, wajar sekali jika kita memerhatikan pengertian di dalamnya. Justeru, seeloknya kita memiliki sebuah terjemahan al-Quran yang baik. Peruntukkanlah waktu untuk menelaah maksud kitab suci terutama bersama keluarga dan rakan-rakan di pejabat. Ada imam menjadikan program tazkirah untuk mengupas dua tiga ayat al-Quran yang dibacanya dalam solat tarawih.

Seorang teman tidak lupa membaca satu juzuk setiap kali selepas solat fardu dan berazam untuk lima kali khatam menjelang Aidilfitri. Saya masih ingat seorang saudara di kampung, tetap menghadap al-Quran, ketika orang lain sibuk membuat persiapan raya pada petang hari terakhir puasa. "Rugi sangat jika masa sesuntuk ini tidak dimanfaatkan untuk membaca al-Quran," katanya. Manakala seorang lagi rakan, dari Pulai, saban hari mengingatkan melalui SMS: "Akhi, surah ke berapa hari ini, ana baru surah ...."

Saya juga tertarik dengan kecenderungan semakin rakan-rakan yang mengambil cuti sepuluh terakhir Ramadan dan rela mengorbankan cuti panjang selepas raya. Mereka mahu menumpukan kepada ibadah khusus seperti beriktikaf di masjid, bertadarus al-Quran, solat sunat, menyantuni golongan fakir, merenung dan memuhasabah diri, selain memohon keampunan, tanpa sebarang gangguan rutin pekerjaan seharian. Bagi saya mereka bijak memilih cuti yang tepat.

III.

Pengerusi baru Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Tan Sri Hasmy Agam membuat cabaran kepada semua rakyat Malaysia, jika tidak mahu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), maka mereka hendaklah bersatu menentangnya.

Beliau berkata hak asasi akan hanya diletakkan di tempatnya yang sewajar di negara ini, apabila semua pihak, bermula daripada kanak-kanak sekolah sehingga pegawai penguatkuasa memahami hak masing-masing.

"Terpulang kepada rakyat Malaysia sama ada mereka mahu atau tidak mengekalkan ISA," tambah Hasmy, bekas diplomat itu.

TUKAR KERAJAAN, TIADA JALAN LAIN

Suhakam, ujarnya, telah dan akan terus mendesak agar ISA dibubarkan. "Pendirian Suhakam jelas. Kami mahu ia dibubarkan. ... Dunia sudah berubah. Darurat sudah berakhir. Tidak ada lagi komunis. Mengapa ISA perlu dikekalkan?" tegas Pengerusi Suhakam ketiga itu, selepas Tun Musa Hitam, bekas Timbalan Perdana Menteri dan Tan Sri Abu Talib Othman, bekas Peguam Negara.

Tugas Hasmy, yang dilantik 7 Jun lalu, pastinya penting dan berat sekali, apatah lagi jumlah pesuruhjaya Suhakam yang baru hanya tujuh orang berbanding 16 sebelum ini.

Mungkin hambatan kewangan atau sikap tidak peduli pemerintah menyebabkan keanggotaan pasukan Hasmy dikurangkan. Antara tugasan awal mereka adalah memantau candlelight vigil memperingati 50 tahun ISA, yang diadakan di lokasi tertentu di seluruh negara. Pihak polis, seperti lazimnya, langsung tidak menghiraukan kehadiran pesuruhjaya Suhakam apabila bertindak keras menyurai perhimpunan aman itu dan menangkap beberapa aktivis.

Pendirian Suhakam terhadap ISA, sama ada menerusi kenyataan akhbar dan laporan tahunannya (yang tidak dibahaskan di Parlimen) adalah jelas. Soalnya, apakah cukup sekadar mengungkapkan siri perisytiharan sahaja tanpa berupaya mempengaruhi polisi atau dasar kerajaan terhadap akta drakonian itu?

Suhakam juga tidak bersetuju dengan sikap KDN menangani kes pembaharuan permit penerbitan Harakah dan Suara Keadilan.

Berkaitan perhimpunan aman, Suhakam telah membuat beberapa cadangan yang baik, antara lain "meminda Seksyen 27 Akta Polis 1997 untuk menjadikan perhimpunan dan perarakan amanyang dibuat tanpa lesen sebagai bukan perbuatan jenayah".

Suhakam turut mengesyorkan agar "tiada permohonan lesen diperlukan bagi mengadakan perhimpunan atau perarakan aman. Walaubagaimanapun, sesiapa yang hendak menganjurkan perhimpunan atau perarakan aman perlu memberitahu secara bertulis Ketua Ibupejabat Polis Daerah (OCPD)tentang perhimpunan atau perarakan tersebut".

Dinilai kenyataannya mengenai ISA, seperti dikutip pada awal artikel ini, seolah-olah Hasmy sudah mengangkat tangan menyerah kalah. Beliau seperti mahu menghantar mesej bahawa ISA hanya akan dimansuhkan oleh sebuah kerajaan baru, menggantikan BN.

Keputusan berada di tangan rakyat. Terpulang kepada rakyat untuk menentukan sama ada mahu melihat ISA terus mengganas atau dikuburkan terus.

KAMI DAN SUHAKAM

Sejak awal penubuhannya pada 1999, saya agak kerap bertandang ke pejabat Suhakam, yang bermula dengan sebuah kontena kecil di perkarangan Wisma Putra.

Aduan pertama saya mengenai pengharaman majalah Detik dan kemudiannya Wasilah pada tahun 2000. Naib Pengerusi Suhakam ketika itu, Allahyarham Tan Sri Harun Hashim sering menjadi rujukan kami. Pernah dalam satu majlis bersamanya, sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, saya secara berseloroh memberikan markah E kepada prestasi Suhakam dalam isu-isu kebebasan media.

Harun agak kerap bertanya saya, mungkin melihatkan tidak ramai pengamal media yang mengiringi saya ke Suhakam: "Berapa orang wartawan independen yang bersama saudara?"

"Kebanyakan mereka adalah kakitangan syarikat penerbitan saya dan juga rakan-rakan karib, adalah dua tiga puluh orang. Tapi Tan Sri kena ingat, bila Detik dan Wasilah diharamkan kerajaan, mungkin jika saya berjumpa Tan Sri tahun depan, yang tinggal tidak sampai lima orang, dan mungkin setahun kemudian, hanya tinggal saya sahaja," jawab saya.

SUHAKAM HILANG KUKU

Benar, tahun berikutnya, bukan jumlah mereka yang bersama KAMI berkurangan, malah Tan Sri pun sudah dipanggil menghadap Ilahi, al-Fatihah.

Pada September 2000 saya bersama 13 lagi aktivis media yang membentuk Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) menyerahkan nota tujuh perkara mengenai kebebasan akhbar. Suhakam turut mengadakan bengkel khas dan saya diundang sebagai salah seorang penalis forum. Selepas menyedari suaranya tidak didengari elit penguasa, dan saya pula jatuh sakit, saya tidak berminat lagi untuk membuat aduan.

Meneliti Akta 597, fungsi Suhakam adalah untuk memupuk kesedaran dan menyediakan pendidikan yang berhubungan dengan hak asasi manusia, selain menyiasat aduan berkenaan dengan pelanggaran hak asasi manusia, dengan syarat tidak melibatkan apa-apa prosiding mahkamah yang belum selesai ataupun kes yang telah diputuskan secara muktamad oleh mahkamah. Keanggotaannya pula tidak melebihi 20 orang.

Hasmy tentu dapat membayangkan kesukaran yang bakal ditempuhnya apatah lagi menyedari segalanya terletak di tangan Perdana Menteri, merangkap Pengerusi BN dan Presiden Umno, yang lebih memikirkan survival politiknya berbanding isu hak asasi yang sebenarnya tidak pernah menjadi agenda penting pemerintah.

Bantah Festival Thaipusam, Hungry Ghost! Tidak rasional?

Oleh Ustaz Saiful Bahri

Satu isu yang dibangkitkan oleh bekas ADUN Kinrara dari MCA yang menabur fitnah kononnya pihak Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) telah membekukan pengeluaran papan tanda besar sempena perayaan “Hungry Ghost Festival” atau upacara memuja roh kaum Cina di kawasannya. Tuduhan seolah-olah PAS menjadi penyebabnya. Ianya merupakan satu fitnah malahan semua permohonan untuk upacara kepercayaan masyarakat Cina itu telah diluluskan tanpa halangan.

Bayangkan kalau ianya kejadian yang sebenar. Apa orang cina tidak kata kepada PAS. Bukan sahaja MCA, GERAKAN dan bahkan DAP juga akan menghentam PAS atas alasan tidak menghormati kepercayaan pelbagai kaum dan agama di Malaysia. Kalaulah yang melarang itu Ustaz atau Tuan Guru nescaya tak cukup tanah dihentamnya. Mungkin tidak ketinggalan ahli PAS yang majoriti pengundinya non muslim akan tumpang sekaki. Apatah lagi PAS kini ada DHPP. Pelbagai hamburan akan dilontarkan seolah agamawan dalam PAS tak faham, ortodok, ketinggalan zaman, tidak bijak berpolitik dan sebagainya.

Apa jadi kalau Pemuda PAS berdemo bantah Festival atau perayaan ini? Berarak dengan kain rentang sebagaimana Pemuda MCA berarak membantah Hudud? Apa kata kalau disebut amalan dan perayaan agama lain sebagai tidak rasional seperti Perayaan Thaipusam dan Perayaan Hantu Lapar. Apatah lagi kalau dicerca dan sebagainya. Sudah tentu diherdik kerana mencampuri urusan agama lain. Apa hak penganut agama lain mempertikaikan amalan mereka. Sememangnya Islam pun mengajar demikian. Setelah dijalankan gerak-kerja dakwah, maka masing-masing memilih haluan masing-masing tanpa paksaan.
Sebagaimana firman Allah swt:-

قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ . لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ . وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ . وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَا عَبَدْتُمْ . وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ . لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ .
1.Katakanlah: "Hai orang-orang kafir,2. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. 3. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. 4. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah, 5. Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. 6. Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku."

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ كَذَلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَى رَبِّهِمْ مَرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, Karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan. Surah al-An’am : 108

Kita memahami perasaan penganut agama lain apabila agama, kepercayaan, amalan atau tuhan mereka dicela. Sebab itu mereka pun sepatutnya mempunyai sikap yang sama. Apabila menyentuh tentang hal yang bersangkutan dengan Islam, mereka juga sepatutnya mengambil kira sentiment dan perasaan umat Islam.

Sebelum ini pemuda MCA, Pengerusi DAP Karpal Singh dan terbaru apabila Pemuda Gerakan mengulas isu hukum hudud yang diutarakan oleh Mursyhidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang telah mencadangkan supaya undang-undang hudud bagi mengatasi gejala jenayah dan sosial.
"Negara kita, yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum dan agama, telah sekian lama menolak perlaksanaan hukum hudud. Antara hukum hudud adalah hukuman potong tangan bagi pencuri dan rejam bagi penzina," kata ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang
"Ini jelas menunjukkan bahawa cadangan undang-undang hudud oleh mursyidul Am PAS tersebut adalah hanya impian peribadinya. "PAS harus sedar bahawa hukum hudud bukan impian semua rakyat Malaysia, yang berbilang kaum dan agama," tegasnya.
Oleh itu, beliau berharap PAS tidak akan lagi mengambil kesempatan untuk mencadangkan undang-undang hudud atas alasan kenaikan gejala jenayah dan sosial. "Adalah lebih baik bagi PAS mengkaji sebab-sebab kenaikan gejala jenayah dan sosial dan memberi cadangan rasional untuk meminda mana-mana peruntukan di dalam Kanun Keseksaan yang sedia ada," tambahnya. PAS, tegas Tan, PAS harus menghormati Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Keseksaan yang sedia ada.


Beberapa persoalan timbul dalam ulasan tersebut dan sepatutnya penganut agama lain juga turut cuba memahaminya :-

1. Undang-undang Hudud itu impian Tok Guru Nik Aziz seorang sahajakah?
Orang bukan Islam perlu memahami bahawa setiap yang bernama Islam perlu menerima hukum Islam termasuk Hudud. Ianya sebagai ibadah sebagaimana sembahyang dan puasa. Ianya bukan pilihan. Sebagaimana umat Islam tiada pilihan menerima semua nabi-nabi, syariat dan hukum-hakam. Bukan hanya ibadah tetapi dengan setiap yang diperintahkan dalam al-Quran dan as-sunnah. Firma Allah Swt:-
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا
Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya Maka sungguhlah dia Telah sesat, sesat yang nyata. Surah al-Ahzab : 36
تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا وَمَنْ يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
Itulah hukum-hukum Allah, Maka janganlah kamu melanggarnya. barangsiapa yang melanggar hukum-hukum Allah mereka Itulah orang-orang yang zalim. Surah al-Baqarah :229

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ
“Apakah hukum Jahiliyyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” Surah al-Ma’idah :50.


Dalam banyak ayat lain lagi, Allah Subhanahu wa Ta’ala menjelaskan bahawa haram bagi orang Islam untuk memutuskan hukum selain dengan Kitabullah. FirmanNya,
فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ عَمَّا جَاءَكَ مِنَ الْحَقِّ
“Maka putuskanlah perkara atas mereka menurut apa yang Allah turunkan (hukum Islam), dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran (hukum Islam) yang telah datang kepadamu” Surah al-Maidah :48.


Allah juga berfirman:-

إِنَّا أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّهُ وَلَا تَكُنْ لِلْخَائِنِينَ خَصِيمًا
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu menghukum antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu dan janganlah kamu menjadi menjadi penentang dengan (membela) orang-orang yang khianat. Surah an-Nisa :105
وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ
“...dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” Surah al-Ma’idah :44

Tidak dinamakan Muslim jika mereka menolak hukum Hudud. Bukan sekadar Tok Guru Nik Aziz tetapi ianya menjadi impian bagi setiap muslim yang sebenar kecuali golongan kafir, munafik dan fasiq. Jangan belajar Islam dari UMNO kerana kepala mereka British jasad mereka sahaja melayu. Mereka sendiri menolak hukum Hudud. Kalaulah judi pun dilesenkan apakah nak mempelajari Islam dari Najib Tun Razak?

2. Apa kaitannya berbilang kaum dan bangsa dengan Hukum Hudud? Apa hak penganut agama lain mempersoalkan hukum Hudud?

Diharap penganut agama dan fahaman lain jangan celupar terhadap Islam. Sama sebagaimana Umat Islam tidak mengkritik amalan mereka. Hukum hudud ini sebagai ibadah bagi umat Islam. Sebagai kaffarah terhadap dosa yang dilakukan mereka. Sebagai jalan taubat. Menghalang Hudud sama seperti menghalang seorang hindu untuk memikul kavadi sempena Thaipusam di Batu Cave. Apa yang merisaukan Cina dan India tentang Hudud? Apa yang menganggu Budha, Hindu & Kristian tentang Hudud? Sama seperti puasa & sembahyang? Sama dengan mahkamah syariah ianya hanya tertakluk terhadap umat Islam sebagai amalan dan ibadah. Kecuali orang bukan Islam memilih untuk dihukum mengikut syariah. Tidak sepatutnya penganut agama lain mencampuri urusan ibadah orang Islam. Firman Allah SWT:-

فَإِنْ جَاءُوكَ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ وَإِنْ تُعْرِضْ عَنْهُمْ فَلَنْ يَضُرُّوكَ شَيْئًا وَإِنْ حَكَمْتَ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ بِالْقِسْطِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
“Jika mereka datang kepadamu (untuk meminta keputusan), maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka, atau berpalinglah dari mereka. Jika kamu berpaling dari mereka, maka mereka tidak memberi mudharat kepadamu sedikitpun. Dan jika kamu memutuskan perkara mereka, maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka dengan adil. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang adil” Surah al-Maidah :42

Kalau PAS dituntut menghormati perlembagaan sepatutnya Pemuda Gerakan itu bertanyakan soalan ini terhadap mereka sendiri. Kalau agama lain bebas diamalkan di Malaysia, kenapa agama Islam tidak boleh diamalkan dan dipraktikkan oleh orang Islam sendiri? Sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi. Pelikkan?

3. Apakah cadangan Tok Guru Nik Aziz itu tidak rasional. Hukum Hudud itu tidak rasionalkah?
Sama kalau dikatakan Festival Thaipusan & Hantu Lapar tidak rasional. Hukum Islam sudah dipraktikkan semenjak 14 abad yang lalu. Dan sebahagiannya telah diamalkan semenjak zaman Bani Israel. Ianya bukan sekadar teori tetapi praktikal. Bahkan data yang ada menunjukkan perlaksanaan hukum hudud telah memberi jawapan berkesan terhadap permasalahan sosial dan jenayah manusia. Sedangkan kanun jenayah yang ada telah gagal melaksana tugasnya. Berilah kepercayaan dan lihatlah keberkesanan perlaksanaannya nanti. Kalau undang-undang konvensional diberi peluang melebihi 50 tahun meskipun gagal, kenapa tidak diberi peluang kepada Islam?. Kelantan dibawah PAS boleh menjadi model atau Terengganu dibawah UMNO melaksanakan enakmen Hudud & Qisas yang telah diwartakan itu.

4. Sejak bila hukum hudud itu ditolak?
Sedia maklum bahawa hukum Islam sudah terlaksana sebelum kedatangan Alfonso, penjajah Portugis pada 1515. Abad ke 14 sudah diterima-pakai Qanun Melaka termasuklah negeri-negri Johor, Pahang, Perak dan Terengganu telah mengakkan undang-undang dan peraturan Islam. Bukti Batu Bersurat dengan jelas bahawa ia digunakan sekian lama semenjak 700 tahun lampau. Undang-undang Komanweal ini baru 50 tahun mengambil tempat. Sedangkan sudah tiada Inggeris lagi disini. Kenapa tak guna undang-undang melayu, cina dan India kalau ada yang mahu? Berilah peluang negeri-negeri yang mahu menegakkan Islam melaksanakannya.
Ketika penulis melawat Nigeria dalam meninjau pelaksanaan hudud ia lebih baik daripada negara Malaysia. Meskipun kerajaan pusat dipimpin oleh penganut kristian tetapi ia membenarkan negeri-negeri yang diperintah mengamalkan hukum Islam temasuk Hudud khususnya negeri yang majoriti muslim seperti negeri Kano, Zamfara. Nigeria yang terletak di Barat Benua Afrika yang penduduknya berbilang kaum. Penduduk Islam dianggarkan lebih kurang 60% daripada keseluruhan penduduk Nigeria, yang bakinya adalah bukan Islam. Pada 27 Januari 2000, Nigeria memperkenalkan Undang-undang Jenayah Islam sepenuhnya iaitu hudud, qisas dan ta’zir. Undang-undang jenayah ini mula dilaksanakan di negeri Zamfara, kemudian diikuti oleh sembilan negeri lagi di bahagian utara. Undang-undang Jenayah ini ada sebanyak 9 undang-undang yang dikuatkuasakan di sembilan buah negeri di utara yang penduduk majoritinya muslim dan undang-undang ini dilaksanakan ke atas orang-orang Islam.

Sebelum daripada Undang-undang Jenayah Islam ini dikuatkuasakan, Nigeria menguatkuasakan Undang-undang the Northern Nigeria Penal Code sejak tahun 1960. Undang-undang ini masih berkuatkuasa di Nigeria ke atas orang-orang bukan Islam secara umumnya. Undang-undang Jenayah Syariah ini dilengkapkan dengan Undang-undang Prosedur Jenayah Syariah. Perlaksanaan Undang-undang Jenayah Syariah di negeri-negeri di Nigeria diawasi oleh Lembaga Ulama’ yang diwujudkan berdasarkan Peruntukan Sharia Courts Establishment Law 1999. Fungsi lembaga ini ialah menyelia, menilai dan memberi panduan tentang perlaksanaan Undang-undang Syariah di negeri-negeri yang melaksanakan undang-undang ini. Undang-undang Jenayah yang dilaksanakan di negeri-negeri utara Nigeria ini terdiri daripada undang-undang hudud, qisas dan ta’zir.

Jenayah hudud adalah terdiri daripada kesalahan-kesalahan zina, sumbang mahram, liwat, musahaqah, ityan al-baha’im, qadhf, tuduhan menghina, mencuri dan merompak. Jenayah qisas pula terdiri daripada kesalahan-kesalahan; membunuh, mencederakan dan tindakan jenayah membawa pengguguran, mencederakan janin, mendera kanak-kanak dan menggugurkan anak.
Jadi Malaysia sebagai Negara demokrasi, pandai-pandailah menghormati tuntutan agama lain. kalau masing-masing sibuk membantah ibadah penganut agama lain. Inilah punca jadinya huru-hara. Adakah ini yang dikehendaki oleh UMNO untuk mengekalkan kuasanya?

Wednesday, August 11, 2010

Ramadhan - Penyucian Diri Untuk Kembali Kepada Fitrah



Semua ini menunjukkan keperluan untuk melunaskan fitrah manusia yang ingin bertuhan. Secara semulajadinya, manusia perlu kepada tuhan. Manusia sendiri tidak boleh menerima dengan akal bahawa dunia ini wujud tanpa pencipta. Lalu dengan keyakinan inilah, manusia mencari-cari siapakah yang perlu dirujuk ketika menghadapi sebarang masalah. Lahirlah dari rasa fitrah tersebut amalan-amalan khurafat yang wujud semenjak zaman dahulu kala.

Islam kemudiannya datang bukanlah sangat untuk mengajar manusia bahawa di dunia ini adanya tuhan kerana itu merupakan satu fitrah. Tetapi Islam datang untuk meletakkan fitrah manusia di landasan yang betul iaitu mengakui tuhan itu hanyalah Allah SWT. Jiwa dan rohani manusia dipandu dengan jelas agar mengakui bahawa zat yang layak untuk disembah hanyalah Allah SWT. Pengabdian inilah merupakan misi utama penciptaan manusia. Inilah tujuan hidup manusia yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Tujuan hidup ini tidak dapat disebut oleh mana-mana ahli fikir jika tidak merujuk kepada al-Quran. Ahli-ahli sains mungkin dapat menyebut apakah tujuan air, tanah, api, udara dan sebagainya. Demikian juga seorang ahli perubatan dapat menjelaskan khasiat ubat-ubatan yang dihasilkan. Namun, tujuan hidup siapakah yang dapat menjelaskan jika tidak Allah SWT sendiri? Sebagaimana seorang yang datang dari ceruk kampung berdepan dengan pelbagai mesin di gudang yang besar, tidak akan mengetahui fungsi setiap jentera dan suis yang dilihatnya kerana tidak mempunyai kemahiran. Orang yang mengetahui fungsi mesin yang pelbagai itu ialah jurutera yang menciptanya atau sekurang-kurangnya berkemahiran tentangnya. Demikianlah manusia, adalah mustahil seorang manusia mengetahui tujuan dia sendiri diciptakan jika tidak diberitahu oleh kuasa yang menciptakan manusia iaitu Allah SWT. Untuk memberitahu tujuan hidup inilah, dihantar rasul-rasul kepada manusia dari zaman berzaman. Merekalah yang ditugaskan untuk memandu manusia bagaimana hidup ini perlu diselaraskan sesuai dengan kehendak Allah SWT.

Jurupandu kepada umat ini ialah para anbiya’ khususnya di akhir zaman ini ialah Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak mereka-reka jalan, baginda hanya menunjuk jalan berdasarkan al-Quran. Bulan Ramadhan inilah yang merupakan bulan penurunan al-Quran. Di antara sifat al-Quran ialah hudan linnas berasaskan firman Allah SWT :

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

Yang bermaksud : Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil).
- Surah al-Baqarah, ayat 185

Justeru, puasa sebagaimana ibadat-ibadat lain merupakan keperluan kepada fitrah manusia. Jika sekalipun ugama tidak mewajibkan puasa ini dilakukan, manusia sendiri tentunya akan mewajibkan ke atas diri mereka untuk berpuasa kerana manfaat yang banyak daripadanya termasuklah dari aspek kesihatan. Apatah lagi jika ia merupakan satu perintah daripada Allah SWT, lebih perlu untuk dilaksanakan sekalipun menempuhi sedikit kepayahan. Tanda taat tunduknya manusia kepada Tuhan mereka ialah mereka sanggup bersusah payah demi membuktikan kepatuhan mereka. Sebagaimana kita bersusah payah untuk anak-anak kita yang kita sayangi, maka demikianlah kita lebih utama untuk bersusah payah demi Tuhan yang kita yakini.

Inilah sebab mengapa setiap amalan di dalam Islam perlu diasaskan kepada niat yang ikhlas. Niat yang ikhlas dalam erti kata lain melaksanakan amalan semata-mata kerana ia merupakan perintah Allah SWT. Bukan sahaja beribadat seperti solat dan puasa, bahkan berpolitik, berniaga, bersosial, berumahtangga semuanya kerana Allah SWT. Hati perlu sentiasa diasuh untuk meyakini bahawa amalan yang dilakukan bukan kerana budaya turun temurun atau adat resam tetapi hanya kerana Allah SWT.

Manusia perlulah sentiasa yakin bahawa Allah SWT itulah yang bersifat dengan al-Khaliq (Yang Maha Mencipta), al-Baari (Yang Memberikan Kemampuan) dan al-Mushawwir (Yang Memberikan Bentuk). Keyakinan seperti ini membantu manusia untuk lebih meningkatkan amal ibadat kerana diyakini setiap amalan tersebut dinilai oleh Allah SWT yang menciptakannya. Keyakinan inilah juga yang akan mendorong manusia untuk berpuasa dengan sesungguh hati. Hilangnya keyakinan ini, hilang jugalah roh dari ibadat puasa tersebut sehingga menghilangkan ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ
Yang bermaksud : “Betapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan betapa ramai orang yang berqiyam tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya kecuali hanya berjaga malam..” – Riwayat Ibnu Majah

Selain itu, saya menyeru kepada seluruh rakyat Kelantan agar memperbanyakkan amalan membaca al-Quran, bersedekah, qiyamullail dan sentiasalah berzikir mengingati Allah SWT. Semuanya ini seharusnya sentiasa menjadi amalan rutin kita bukan hanya ketika di bulan Ramadhan tetapi sepanjang masa. Semoga bacaan al-Quran, sedekah, qiyam dan juga zikir yang kita amalkan sentiasa memandu kita di dalam mengurus tadbir hidup ini berpandukan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Semoga Ramadhan pada tahun ini jauh lebih baik dari Ramadhan pada tahun-tahun yang lepas.


TUAN GURU DATO’ BENTARA SETIA
DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Wednesday, August 4, 2010

SAJAK ULANG TAHUN KE 50 ISA !



JANJI LELAKI ITU


SATU

mereka datang tidak di jemput
mereka sampai tidak memberi salam
mereka masuk tidak mengetuk pintu

mereka datang ditengah tengah gelap yang hitam
mereka datang dengan muka tertutup
mereka datang dengan menendang pintu

datang untuk menangkap
datang untuk mencekup
datang untuk menggempar
datang untuk menakutkan sesiapa saja yang akan takut

ayah itu di gari
isterinya memandang
anaknya menangis
tentangga mengintai intai
lalu dia di bawa pergi

sang isteri bingong
sang anak meraung lagi
tetangga menjauhkan diri
takut telibat berimplikasi

kemana agaknya sang suami di bawa lari
kemana agaknya sanh ayah di bawa pergi
kemana agaknya polis ganas itu membawa dia pergi

heboh
heboh
heboh satu negeri
ada pengganas sedang beroperasi
untuk menjatuhkan kerjaan negeri

dua bulan kemudian sang ayah mucul kembali
dari kuala lumpur dia naik lori
waktu malam dinihari
dia dipindah ke sebuah penjara lagi

DUA

di kamunting kami dipertemukan
di kamunting kami di raikan
di kamunting kami di kurung dan di rayakan
di kamunting kami di kunci agar tahu harga kebebasan diri

satu hari dibilik bacaan
aku bertemu dengan si ayah

ianya seorang musliman yang warak
jantan yang berjanji kepada allah dan nabi untuk menjadi insan yang soleh
jantan yang berjanji kepada sang insteri untuk menjadi suami yang berbudi
jantan yang berjanji kepada anak untuk menjadi ayah yang sering memberi
jantan yang berjanji kepada alam untuk membawa kebajikan ke dunia ini

lalu kami bertegur sapa
lalu kami menjadi mesra
lalu kami bertukar cerita
tentang si anu
dengan si anu
tentang si polan
dengan si polan

sang isteri tidak datang melawat
sang anak jauh sekali
mahal harga tambang bas
dimana nak tidor
dimana nak bermalam
akhirnya tak perlu datang
akhirnya tak perlu bertandang

TIGA

dibilik bacaan kami bertemu sekali lagi
aku bertanya khabar
bertanya khabar seolah olah
kami baru pulang dari luar negeri
mukanya sedih tidak berseri

dia bercerita tentang anaknya ke sekolah
dia bercerita tentang bayaran hutang rumah
dia bercerita tentang isterinya yang susah

aku hanya mendengar
berat telinga mendengar
berat hati merasa
berat lagi sang isteri di rumah
berat lagi anak ke sekolah

lalu dia bercerita tentang rayuannya ditolak
lalu dia bercerita tentang semua tuduhan
lalu dia bercerita tentang malam dia di tahan

dia bercerita tentang pukulan dan tamparan
dia bercerita tentang tendang dan api rokok
dia bercerita tentang sumpah seranah yang diterima
dia bercerita tentang ancaman kepada anak dan isteri

kemudian dia mendongak ke langit
matanya memandang ke luar jendela
memandang ke arah bukit hijau
memandang ke alam bebas

EMPAT

ramadan pun sampai
maka kami pun beramal
sebulan kami berkhalwat
sebulan kami melihat hidup
sebulan kami bersendirian

ketika ramadan
aku juga mencuba menjadi lelaki yang baik
aku juga mencuba menjadi anak yang soleh
aku juga mencuba menjadi manusia yang membawa kebajikan

bila hari raya sampai
maka kunci itu pun di bukalah
pintu penjara luas terbuka
agar sanak saudara datang melawat
agar kaum keluarga berjabat mesra

pagi itu aku pun diziarahi keluarga

tidak aku sangka sangka
di meja hadapan aku
si jantan itu juga di kelilingi oleh anak dan isteri
ku lihat mukanya gembira ria
anak dipangku kiri
anak diriba kanan
isteri dihadapan

aku pun gembura sendiri
milihat kawan bersenang hati

mata aku liar memerhati dan mencari
mengintai bekalan jaudah hidangan mereka
aduh ! aku terperanjat tak percaya
apa yang aku lihat di pagi raya

bukan ketupat
bukan satay
bukan udang
bukan ayam
bukan lemang
bukan rendang
yang terhidang hanya mee goreng dan biskut kering
dan sebotol ayer lemonade

lalu aku mengalih mata
memandang ke atas bukit yang hijau
memandang ke alam bebas

LIMA

jam 7 pintu itu dikunci
maka aku pun terkurung
hari raya pun selesailah

malam pun datang
sehari telah berlalu

maka aku pun berjanji untuk menjadi manusia yang berbudi
maka aku pun berjanji untuk menjadi menusia yang memberi
maka aku pun berjanji untuk membawa kebajikan

untuk kau yang tidak tahu penjara
untuk kau yang belum ditahan tanpa bicara
untuk kau yang memiliki segala gala

kau dengar surah aku ini
di bumi ini orang orang baik lebih banyak dari orang orang jahat
di bumi ini orang orang baik lebih banyak dari orang orang jahat

jika kau ingin menjadi manusia yang baik
jika kau ingin menjadi manusia berbudi
jika kau ingin menjadi manusia pemberi
lakukan sesuatu untuk mengubah diri

kezaliman yang ada ini
sedang menunggu kau
menunggu kau yang baik hati
menunggu kau yang berbudi (TT)

Tuesday, August 3, 2010

Pelajaran bahasa Inggeris untuk Ibrahim Ali


KOMENTAR Apabila saya bangkit pada pagi Isnin lalu, saya melayari laman sesawang Malaysiakini dan mendapati saya menjadi sasaran demonstrasi di Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.

Saya tidak pasti sama ada saya terkejut ataupun ia satu penghormatan. Ketika saya menjadi duta, seringkali terjadi demonstrasi terhadap Amerika Syarikat - semuanya membabitkan isu serius.


Tetapi demonstrasi yang dilakukan adalah terhadap diri saya? Ini hanya semata-mata saya berkata benar dan menamakan PERKASA sebagai kumpulan militan? Semuanya berlaku kerana ketua PERKASA, Datuk Ibrahim Ali tidak boleh membezakan antara adjektif (kata sifat) dengan 'kata benda'.

Isu ini bermula kerana bahasa Inggeris bukan bahasa ibubunda Ibrahim. Saya tidak menyalahkannya kerana dia tidak faham perbezaan itu dalam bahasa Inggeris. Ia bukan bahasa ibundanya. Saya berharap saya mengetahui lebih banyak bahasa Melayu.

Bagaimanapun sebelum seseorang berhujah dengan berkobar-kobar selama dua minggu dengan menuduh saya sebagai "tolol" dan "bodoh" (stupid) serta mengetuai bantahan ke atas kedutaan Amerika, sekurang-kurangnya perbetulkan dahulu fakta anda.

Namun nampaknya, Ibrahim tidak ambil peduli. Beliau gembira dengan publisiti yang diterimanya di media massa.


Saya labelkan PERKASA sebagai kumpulan militan Melayu, yang mana ia memang bersifat demikian. Apabila saya menggunakan perkataan 'militan' ia digunakan sebagai adjektif. Ia membawa maksud 'perwatakan yang agresif' atau 'semangat baja dalam perjuangan', sebagai contoh 'aktivis hak asasi manusia yang militan'.

Ibrahim sepatutnya menerimanya sebagai satu pujian.

Apabila perkataan 'militan' digunakan sebagai adjektif, perkataan itu tidak membawa maksud seseorang itu menggunakan keganasan.

Jadi apabila saya menyentuh mengenai PERKASA - hanya enam perkataan dalam rencana pengarang saya yang berjumlah lebih kurang 800 perkataan berhubung “kumpulan baru militan yang bernama PERKASA - saya tidak menggunakannya sebagai 'kata benda'. Saya gunakannya sebagai 'kata sifat' - menunjukkan agesif atau bersungguh-sungguh.


Itu adalah perkataan yang tepat bagi menghuraikan Ibrahim. Saksikan sahaja videonya dan anda akan faham apa yang saya maksudkan. Beliau seseorang yang sedia bergaduh memperjuangkan apa yang dipegangnya. Beliau seorang yang agresif.

Tetapi saya tidak pernah melabelkan PERKASA sebagai kumpulan yang terbabit dengan keganasan atau terorisme.

Bagi rakan-rakan saya di Washington, isu berkenaan boleh diselesaikan dengan mudah jika Ibrahim hanya merujuk kamus Oxford English.

JOHN R MALOTT adalah duta Amerika Syarikat ke Malaysia dari 1995-1998.