Monday, May 28, 2012






As Syahid Syeikh Umar Al-Mukhtar..
Apabila Ketua Panglima perang Itali menawarkannya peluang terakhir untuk hidup di bawah pemerintahan Itali, dengan syarat beliau mesti mematuhi segala arahannya, As Syahid Syeikh Umar Al-Mukhtar menjawab, “Aku tidak akan berhenti menentang kamu, sehinggalah kamu meninggalkan tanah airku, atau sehinggalah aku mati. Dan aku bersumpah kepada Allah Yang Maha Mengetahui sesuatu di dalam hati manusia, jikalau bukan kerana tanganku diikat sebegini, nescaya aku akan tetap melawanmu dengan tangan kosong, biarpun dalam keadaan yang tua sebegini.”

Pada waktu itulah, Ketua Panglima perang Itali itu ketawa, sambil mengarahkan supaya beliau digantung, selepas mengadakan sebuah perbicaraan ‘olok-olok’ yang direka untuk menjaga maruah kerajaan Itali. Walaupun perbicaraan untuk beliau masih belum bermula, tali gantung telah pun disediakan untuk beliau di luar mahkamah. Penggantungan beliau telah disaksikan oleh ratusan puak pada tahun 1931. Namun demikian, kerjaan Itali tidak berjaya dalam usaha mereka untuk menakutkan orang Islam. Bahkan, yang sebaliknya pula yang terjadi. Kematian beliau telah menggoncang jiwa umat Islam seluruh dunia, dan dari situlah pelbagai penentangan bermula, terutamanya di Utara Afrika.

Semoga Allah meninggikan darjat As Syahid Syeikh Umar Al-Mukhtar di syurga. Orang-orang Itali yang berjiwa kotor telah mengambil gambar mayat beliau yang diikat, sambil dikelilingi oleh panglima-panglima perang yang tersenyum puas bersama mereka-mereka yang riang gembira dengan kematian beliau. Tanpa disedari mereka, kematian di tangan musuh demi memperjuangkan hak Allah inilah yang sebenarnya menjadi idaman setiap orang Islam sejati.

As Syahid Syeikh Umar Al-Mukhtar hidup dan berjuang demi Islam sepanjang hayatnya. Beliau diikat, dipenjarakan, dan dihukum gantung. Namun, cerita keperwiraannya kekal berterusan, dan insyaAllah, Syurga adalah tempat bagi mereka yang syahid.

"Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani selama-lamanya tidak akan redha kepada kamu sehinggalah kamu mengikut agama mereka."
(Surah al-Baqarah ayat 120).

Sedarlah shbt2 sasaran sebenar golongan yang benar2 memusuhi Islam di setiap negara Islam ialah para Ulama'

Moga Allah memberikan kekuatan kepada kita untuk mengikuti jejak langkan As Syahid As Syahid Syeikh Umar Al-Mukhtar, Amin..

Friday, May 25, 2012

Tangan Siapa Rosakkan Anak Kita?


Oleh : Dr Juanda Jaya ( Mufti Perlis)
Nabil berumur sepuluh tahun ketika pertama kali didera kerana mencuri wang milik ayahnya. Rosli dan Zainab pasangan suami isteri yang cukup berjaya sebagai guru. Setiap hari mereka bertungkus lumus mendidik murid-murid menjadi insan cemerlang apakan daya anak sendiri tak mampu diuruskan. Kedua-duanya sama panas baran, mungkin disebabkan tekanan kerja yang dibawa pulang ke rumah. Kasihan Nabil setiap hari makanannya adalah maki hamun dan ugutan ditambah dengan tamparan dan hentakan di kepala. Semakin dihajar dengan kekerasan Nabil semakin liar dan memberontak. Dia putus asa dan memandang dirinya tidak berguna, tidak disayangi dan terbuang. Sementara itu ibu dan ayahnya makin tertekan dan malu dengan sikap anak mereka yang semakin teruk. Bukan hanya duit dan barang di rumah yang hilang, di sekolah dan rumah jiran juga dicuri. Ayah dan ibunya mengikat kaki dan tangan Nabil dengan rantai besi dan seluruh tubuhnya jadi sasaran pukulan. Begitukah didikan yang diajarkan agama? Dimanakah ilmu psikologi yang telah dituntut para orang tua dan guru? Bagaimana Nabi Muhammad SAW mendidik anak-anaknya?
Suatu hari Rasulullah SAW mengajak seorang kanak-kanak berdialog, baginda menyuruh kanak-kanak lelaki yang bernama Abdullah bin Abbas itu naik ke punggung untanya. Nabi SAW duduk dihadapan dan Abdullah di belakang. Kedua-duanya bersembang dengan penuh kasih sayang, mesra dan gembira. Di tengah-tengah perbualan mereka yang rancak, Rasulullah SAW menyelitkan ilmu yang tinggi nilainya secara tidak langsung kepada si kecil Abdullah. ”Wahai budak kecil, peliharalah Allah (syariat Allah) nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya kamu akan mendapatkan-Nya di hadapanmu, jika kamu meminta mintalah pada Allah, jika kamu mohon pertolongan pohonlah kepada Allah.”
Si kecil yang amat berminat ini terus memerhati setiap perkataan yang keluar dari lisan Nabi yang suci. Setiap mata yang memandang kepada Nabi SAW akan merasai rahmat dan kasih sayangnya. Kelembutan dan kemuliaan akhlak Baginda SAW mampu mencairkan kerasnya hati manusia. Baginda SAW bukan hanya diutus untuk lelaki dan wanita dewasa, tetapi kanak-kanak juga berhak ke atas syariah yang dibawa baginda SAW.
Pernah suatu ketika baginda menyapa seorang kanak-kanak: ”Wahai anakku, apakhabar burung kamu?” Bahkan baginda menyuruh para bapa supaya mencium anak-anak mereka yang kecil sambil bersabda: ”Sesiapa yang tidak menyayangi tidak akan disayangi.” Tidak pernah disebutkan dalam sirah baginda yang agung peristiwa penderaan terhadap kanak-kanak pada saat itu. Mereka hidup dalam kasih sayang dan penjagaan Nabi mereka dengan penuh rahmat. Mereka dididik dengan tarbiyah yang sempurna. Ditanamkan iman dan diajarkan akhlak yang mulia.
Maka lahirlah kanak-kanak yang berjiwa pahlawan, seperti anak Umar bin Khattab. Abdullah bin Umar ketika peperangan Badar dia menangis sekuat hatinya di hadapan Rasulullah SAW bukan kerana takut melihat darah dan mayat tetapi dia menangis kerana tidak diizinkan ikut berperang melawan orang-orang kafir. Abdullah bin Umar di dalam kisah biografinya disebutkan bahawa Beliau telah tumbuh dewasa menjadi seorang pemuda yang terlalu cintakan Rasulullah SAW hinggakan dia suka mengikut cara-cara Rasulullah berjalan, menghafal setiap perkataan baginda SAW dengan meriwayatkan banyak hadis, bahkan ketika dalam pemusafiran beliau juga berhenti di tempat yang Rasulullah pernah berhenti, sembahyang di tempat Rasulullah pernah bersembahyang dan berdoa di tempat Rasulullah pernah berdoa. Sehingga Aisyah pernah berkata: ”Tidak ada seorang pun mengikut jejak langkah Rasulullah di tempat-tempat perhentiannya sebagaimana yang dilakukan oleh Abdullah bin Umar.” Cintanya kepada Rasulullah SAW begitu kuat dan sentiasa hidup dihati walaupun baginda telah tiada di sisi.
Bagaimana dengan anak-anak kita sekarang? Sungguh kasihan mereka yang tidak mendapat didikan agama. Persekitaran yang serba materialistik sedikit sebanyak mempengaruhi keperibadian mereka. Ibu bapa yang tertekan tanpa iman yang cukup tidak mampu membimbing mereka dengan nilai-nilai murni. Agama semakin dijauhi, dunia semakin digilai. Nak hantar anak pergi mengaji dengan bayaran RM.50 kena fikir dua tiga kali. Tapi hantar pergi kelas bahasa Inggeris seharga RM 200 tak payah fikir lagi. Ibu bapa terlalu sibuk, serah didikan kepada guru dan orang gaji. Masa untuk anak hanya ada saat keduanya keletihan, sembahyang ditinggalkan dan cukup menyumbat mulut sang anak dengan wang jika mereka menagih kasih sayang.
Jika anak tidak diberi peluang mengenali hati ibunya, sampai bila-bila dia tidak akan sudi menyentuhnya. Akan lahirlah anak-anak akhir zaman yang ego, membuang ibu mereka yang uzur di atas katil tanpa kasih sayang. Oh iman mengapa semakin menipis di hati kita.